Gambar hiasan

CHUKAI – Kegembiraan empat sekeluarga mandi-manda di Lubuk Tapeng, Air Putih dekat sini, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus sungai.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari tadi, mangsa Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, yang bekerja sebagai buruh kilang dipercayai hilang ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya, Muhammad Zafran Aidil,12, yang hampir lemas.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, menurut laporan, mangsa bersama isteri serta dua anak lelaki mereka yang tinggal di Kampung Ibok dekat Kijal tiba di lokasi kejadian kira-kira 9.30 pagi tadi.

Bagaimanapun ketika asyik mandi, salah seorang anak lelaki mangsa dibawa arus ke tengah sungai menyebabkan mangsa yang sedang memancing bergegas turun untuk menyelamatkannya.

“Anak mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok berhampiran. Namun pengadu yang juga isteri mangsa panik apabila melihat suaminya tenggelam…tidak timbul-timbul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, isteri mangsa terus bergegas mendapatkan pertolongan daripada orang kampung dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan bersama pihak bomba dan agensi penyelamat lain,” katanya. – Bernama