Beberapa buah kenderaan yangrosak teruk ditemui di lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor sedia mendedahkan laporan penuh tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor kepada waris-waris mangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan yang disediakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan didedahkan secara bertulis berdasarkan permintaan.

Dalam masa yang sama katanya, laporan berkenaan akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco.

“Laporan daripada JMG sudah disediakan. Kalau ada permohonan kita boleh keluarkan secara bertulis.

“Insya Allah, saya akan bawa ke mesyuarat Exco dalam masa terdekat untuk kenal pasti mana puncanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di LRT Cempaka, Ampang.

Turut hadir, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Semalam media laporkan keluarga mangsa tragedi tanah runtuh itu menggesa kerajaan segera mengeluarkan laporan penuh mengenai insiden tersebut.

Wakil keluarga mangsa, Loh Teng Shui dilaporkan berkata, sehingga kini mereka masih menunggu untuk mendapatkan jawapan mengenai apakah yang sebenarnya berlaku.

Sebagai rekod, kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, termasuk 13 kanak-kanak.-MalaysiaGazette