KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik maklum balas Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan menaikkan gaji penjawat awam, hari ini.
Presidennya, Adnan Mat yakin Perdana Menteri mempunyai strategi tersendiri dalam menjaga kebajikan penjawat awam dalam negara ini.
Katanya, cadangan supaya kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam merupakan suara majoriti golongan itu.
“Apa jua pendirian kerajaan berhubung kebajikan penjawat awam sudah pasti diterima dengan baik oleh kami semua. CUEPACS menyuarakan suara hati daripada majoriti penjawat awam. Apa jua keputusan kerajaan sudah tentu diterima baik oleh penjawat awam,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, penjawat awam akan terus memberikan khidmat tanpa berbelah bahagi dalam menyokong dan melaksanakan dasar kerajaan khususnya teras dalam rukun Malaysia Madani yang dibawa Anwar demi kepentingan rakyat dan negara.
Anwar hari ini berkata, tindakan menaikkan gaji dan pendapatan penjawat awam hanya menyebabkan defisit negara meningkat kepada 6.5 peratus.
Justeru beliau meminta supaya penjawat awam bersabar sedikit sementara kerajaan mendepani hutang negara dan membantu rakyat yang miskin tegar. – MalaysiaGazette