Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Penyelesaian Goldman Sachs kepada Malaysia yang berjumlah AS$2.5 bilion terhadap peranannya dalam skandal 1MDB adalah tidak adil dan tidak memadai.

Malah, bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) menyifatkan penyelesaian terbabit cukup lemah.

Justeru, beliau mahu kerajaan memberi tekanan keras kepada Goldman Sachs dan pengurusan kanannya untuk mendapatkan semula aset-aset milik 1MDB.

“Sebelum ini kita tak tahu, tetapi apabila mahkamah di Amerika mengeluarkan fakta-fakta bahawa Goldman Sachs adalah penasihat kewangan dan pengurus utama bagi terbitan tiga bon berjumlah AS$6.5 bilion.

“Mereka mendapat manfaat yuran sebanyak AS$600 daripada bon-bon itu, hampir 10 peratus daripada bon yang dikeluarkan.

“Yang pelik saya ni, kita sudah tahu mereka ini turut bersalah, tetapi kenapa kita menyelesaikannya dengan begitu rendah sekali. Kita hanya menyelesaikannya hanya AS$2.5 bilion sedangkan pendedahan kita AS$6.5 bilion,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Malaysia yang ‘okay’ apabila Goldman Sachs mahu memberi jaminan AS$1.4 bilion jika tidak mampu untuk mendapatkan pendedahan semula.

“AS$1.4 bilion ini diasingkan dengan AS$2.5 bilion, angka yang berbeza.

“Hari ini Goldman Sachs memberitahu kita yang AS$1.4 bilion pun mereka tak payah bayar. Sebab apa?

“Sebab mereka rasa kutipan yang kita dapat daripada penalti AmBank sebanyak RM2.8 bilion, Deloitte (lebih RM300 juta), KPMG (lebihRM300 juta). Dia (Goldman Sachs) ni nak tolak penalti yang kutip dalam Malaysia ni daripada AS$1.4 bilion ni,” ujarnya.

Lantaran itu, Johari mempertikaikan bagaimana peranan peguam yang mewakili 1MDB.

Sepatutnya, kata beliau, peguam yang mewakili 1MDB melihat kepentingan syarikat tersebut bukan Goldman Sachs.

“Sebab sudah jelas ia (Goldman Sachs) sudah menipu kita. Ia sudah manfaat AS$606 juta dalam bentuk yuran.

“Macam mana kita benarkan Goldman Sachs lari macam tu sahaja, sedangkan pengurusan kanan Goldman terlibat dalam perkara ini.

“Kalau tak, takkanlah DOJ (Department of Justice) dengan jelas menunjukkan Goldman Sachs terlibat,” hujahnya lagi.

Johari dengan tegas menyifatkan penyiasatan terhadap 1MDB ini hanya tertumpu kepada politik, sedangkan ia patut melibatkan semua pengurusannya.

Menurut beliau, agak mustahil satu organisasi yang mengeluarkan bon berjumlah AS$6.5 bilion, hanya satu orang sahaja yang turun naik mahkamah.

“Apa jadi dengan pengurusan kanan (1MDB) yang dapat gaji besar-besar, berjuta-juta,” katanya.

Sehubungan itu, Johari mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat semua perkara ini.

Katanya, beliau tidak mahu lagi, jika Malaysia terlibat dengan skandal pada masa depan, semua individu yang bekerja dengan entiti tersebut menawarkan diri untuk menjadi saksi pendakwaan sahaja.

Amalan itu, tegas beliau adalah salah.

”Kita kena siasat kenapa mereka ini dapat gaji besar-besar, bila ada masalah letak kat tangan seorang sahaja.

“Saya rasa tak adil. Kalau ada yang bersalah ambil tindakan. Pihak pengurusan yang bekerja bertahun-tahun dalam entiti kemudian dia tak didapati bersalah. Eh! macam mana ni,” soal beliau.

Beliau melihat situasi yang melanda 1MDB seperti cerita kartun.

Oleh itu, kerajaan perlu melihat bagaimana peranan peguam yang mewakili 1MDB dan mana-mana individu yang terlibat dalam rundingan dengan Goldman Sachs itu.

“Kenapa tidak fail saman kepada Goldman Sachs di AS? Kenapa rundingan tanpa saman. Kalau you saman, baru berunding, tekanannya lebih baik. Tapi you tak saman Goldman Sachs di AS, saman kat sini buat apa?

“Saman sana, bila you saman sana, barulah ada tekanan. Dan tekanan lebih kuat,” jelasnya. – MalaysiaGazette