KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 Jun depan bagi mendengar permohonan membatalkan saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung laporan siasatan mengenai kandungan memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’.
Tommy bertindak menyaman permohonan pasukan petugas khas dan kerajaan dengan menamakan Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Datuk Seri Fong Joo Chung, tujuh ahli pasukan itu dan kerajaan sebagai defendan.
Mahkamah turut mengarahkan semua defendan memfailkan hujahan bertulis pada 27 Mac ini.
Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud yang mewakili semua defendan dan plaintif juga diarah memfailkan hujahan bertulis pada 10 April.
“Semua defendan memfailkan hujahan balas pada 2 Mei, sekiranya ada,” katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini.
Kedua-dua defendan memohon untuk membatalkan saman difailkan Tommy pada Oktober lalu atas alasan ia adalah skandal, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Tommy memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness’ sebagai dokumen tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.
Hujah beliau, penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan, melanggar haknya terhadap reputasinya seperti dilindungi Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Jemaah Menteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Oktober 2021 telah menjalankan kajian awal pendedahan yang dibuat oleh Tommy dalam bukunya, yang diterbitkan pada Januari 2021. – MalaysiaGazette