KUALA LUMPUR – Peguam, Siti Kasim dikecam kerana bersikap celupar apabila mempersoalkan inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat untuk menggalakkan wanita di negeri itu menutup aurat.
Pengarah Ameerah Terengganu, Asma Abdullah berkata, kenyataan Siti itu adalah tidak masuk akal dan beliau tidak berhak menghalang usaha mendidik wanita di negeri berkenaan menutup aurat dengan sempurna.
“Apakah beliau mengira agama ini main-main? Jika dia merasakan wanita Terengganu akan berdiam diri dengan kelancangan dan kebiadabannya maka dia silap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam rakaman video yang disiarkan dalam TikTok baru-baru ini, Siti mempertikaikan tentang usaha kerajaan negeri Terengganu menggalakkan kaum wanita berpakaian patuh syariah sempena sambutan Terengganu Hijab Day 2023.
Asma menambah, istilah ‘patuh syariah’ bukan bermakna mematuhi, menurut dan mengikut syarat dan peraturan yang ditentukan manusia.
Sebaliknya, kata beliau, ia melambangkan perlakuan dan perbuatan yang merujuk tatacara perundangan dan peraturan yang diperintahkan oleh Allah SWT.
“Secara jelasnya, patuh syariah adalah salah satu usaha dan cara untuk hidup patuh akan perundangan yang Allah turunkan,” jelasnya.
Asma berkata, inisiatif Pakaian Patuh Syariah yang diperkenalkan dan cuba dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu adalah satu usaha yang dilakukan bagi menepati dan mendidik masyarakat ke arah perintah Allah SWT yang sebenar. – MalaysiaGazette