masjid PH BN miskin tegar
Nazree Yunus

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun seharusnya sedar bahawa memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu golongan miskin tegar keluar daripada garis kemiskinan.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Rembau, Nazree Yunus berkata, kenyataan Aminuddin yang mempersoalkan sebahagian daripada golongan miskin tegar di bawah program e-Kasih di negeri itu yang enggan keluar dari garis kemiskinan walaupun mereka mampu meningkatkan taraf hidup dianggap tidak tepat dan seolah-olah memperlekehkan golongan berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan Negeri Sembilan boleh melaksanakan pendekatan yang lebih holistik dalam soal menangani isu miskin tegar.

“Perubahan sikap boleh hadir sekiranya ada dasar dan pendekatan yang betul untuk meningkatkan ekonomi golongan miskin tegar.

“Kita tidak boleh mengharapkan perubahan sikap golongan berkenaan semata-mata sekiranya sikap pemimpin dalam membentuk dasar yang berkesan juga tidak menunjukkan perubahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kendalian Kementerian Ekonomi di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pemikiran dan sikap sedemikian perlu diubah dengan menggalakkan rakyat berdikari sekali gus membuka ruang dan peluang kerajaan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan bantuan. – MalaysiaGazette