KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rozilan Salleh menawarkan diri bertanding Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut pada pemilihan parti kali ini.
Rozilan sebelum ini berpengalaman dalam Jawatankuasa UMNO di bahagian dan pernah berkhidmat dengan Najib semasa menjadi presiden parti.
“Dengan izinNya, saya Rozilan Salleh dengan segala rasa rendah hati menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut bagi penggal pemilihan 2023 – 2026.
“Niat dan hasrat untuk menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Ketua UMNO Jerantut pada kali ini adalah atas dasar kecintaan saya kepada parti keramat UMNO dan dalam rangka menumpah bakti menyumbang khidmat khususnya kepada Bahagian Jerantut.
“Atas dasar kecintaan ini jugalah saya terpanggil untuk meneruskan perjuangan yang tiada noktah ini, dengan pemerkasaan parti menjadi agenda utama saya demi survival dan kelangsungan parti keramat ini,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.
Rozilan yakin dan percaya sekiranya diberikan ruang dan peluang dengan pengalamannya disertai hubungan rapat dengan kepimpinan di negeri dan nasional, beliau yakin
mampu berperanan dan menyumbang kepada kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut.
“Ini demi menjayakan agenda memperkasakan UMNO Jerantut yang saya sayangi dan memulihkan imej parti seterusnya meletakkan UMNO pada landasan dan kedudukan yang sebenar agar mampu kembali semula menjadi juara di hati rakyat.
“Untuk itu, tidaklah saya menjanjikan setinggi langit, menjanjikan bulan dan bintang atau pun intan permata tetapi insya-Allah sekiranya diberi peluang dan kepercayaan oleh perwakilan ke Persidangan Bahagian pada 18 Mac 2023 ini, saya berjanji akan berkerja dan berkhidmat sebaiknya dan akan memberikan hanya yang terbaik buat semua dan untuk UMNO Jerantut.
“Mohon sokongan dan undi perwakilan,” katanya.- MalaysiaGazette