JOHOR BAHRU – Seramai 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Segamat dan Kulai tidak dapat menduduki peperiksaan akibat banjir.
Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh berkata, kesemua pelajar yang terkandas itu membabitkan tujuh pusat peperiksaan di Segamat dan satu di Kulai.
“Seramai 89 calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Labis Segamat yanv terlibat.
“Di Kulai pula membabitkan SMK Taman Putri. Hari ini melibatkan peperiksaan subjek Sains dan Fizik manakala sebelah petang SRT (Sains Rumah Tangga),” katanya.
Menurut Norliza, terdapat calon SPM di beberapa buah pusat peperiksaan seperti di Pasir Gudang, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat dan terpaksa menumpang di pusat peperiksaan lain.
“Saya dimaklumkan seramai 127 calon SPM di daerah Kota Tinggi telah menumpang di pusat peperiksaan yang lain melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar,” katanya.
Jelasnya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau dari semasa ke semasa keadaan banjir terutama membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan. – MalaysiaGazette