royalti petroleum
Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Pihak pembangkang tidak sepatutnya meniup sentimen perkauman dalam menyuarakan bantahan mereka terhadap isu royalti petroleum di Kelantan dan Terengganu.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, tindakan itu boleh mengancam keharmonian hubungan kaum sesama rakyat.

“Dalam kes royalti petroleum, gunalah saluran undang-undang dan lain-lain tindakan diplomasi supaya kita dapat sama-sama mengangkat Malaysia Madani bagi mewujudkan Malaysia yang stabil, makmur dan bahagia.

“Untuk negara kita maju ke depan, hentikanlah bermain dengan sentimen perkauman yang meresahkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan segelintir ahli Parlimen pembangkang bahawa keputusan kerajaan Persekutuan tidak membayar royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu membuktikan negeri-negeri majoriti Melayu diketepikan.

Mohammad Agus menambah, dakwaan tersebut dianggap amat tidak bertanggungjawab kerana tidak disertai dengan fakta yang benar dan dibuat semata-mata untuk meniupkan sentimen perkauman dan kebencian kepada Kerajaan Perpaduan.

Beliau memberitahu, isu tersebut bukan perkara baharu malah pertikaian berkaitan hal berkenaan telah berlarutan lama sehingga kerajaan negeri membawa kes itu ke mahkamah pada 2010.

“Bagaimanapun pada 2019 semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri menarik balik saman tersebut setelah kerajaan Pusat membayar Kelantan RM400 juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran ‘sekali sahaja’,” jelasnya.

Mohammad Agus berkata, pada 25 November 2021, Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri masing-masing.

Menurut beliau, Tengku Zafrul membuat kenyataan itu berdasarkan kepada peruntukan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dari pesisir pantai sahaja.

“Waktu ini juga, Menteri Undang-Undangnya adalah Datuk Seri Takiyuddin Hassan, namun Akta Wilayah Laut 2012 tidak dibawa ke Parlimen untuk dimansuhkan dan bayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu juga tidak dilaksanakan.

“Menariknya, kerajaan negeri tidak bising dan tidak juga menimbulkan soal mendiskriminasikan orang Melayu, kerana pada waktu ini mereka berada dalam kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Agus menyifatkan ia sesuatu yang ironi apabila pembangkang menuduh Kerajaan Perpaduan menganiaya orang Melayu setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan perkara yang sama di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.

Beliau berkata, adalah tidak wajar bagi pembangkang menuduh Kerajaan Perpaduan menafikan hak orang Melayu kerana tindakan yang diambil berhubung isu royalti petroleum tidak mencabul keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

“Selagi tindakan Kerajaan Perpaduan mengikut lunas undang-undang, maka ini bermakna tidak sesekali ia menganiaya orang Melayu Kelantan dan Terengganu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.