Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tidak sampai 24 jam dari sekarang, Mahkamah Tinggi di sini akan menyampaikan keputusan bagi kes berprofil tinggi pindaan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.

Turut didakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang pada saat-saat akhir dipanggil sebagai saksi pendakwaan untuk memberi keterangan beliau di hadapan mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Esok, sekitar jam 9 pagi, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan akan membacakan penghakiman sama ada Najib perlu membela diri menjawab tuduhan salah  guna jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mengarahkan maklumat penting dikeluarkan daripada laporan akhir audit 1MDB.

Arul Kanda yang dituduh bersubahat dengan Najib juga akan diputuskan kedudukannya oleh Mohamed Zaini yang kini sudah menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Mohamed Zaini Mazlan

Sepatutnya keputusan dibuat Mohamed Zaini pada 30 Januari lalu namun ditunda kepada 3 Mac.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 di Penjara Kajang selepas disabitkan salah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42juta.

Arul Kanda sudah memberikan keterangan terhadap Najib selama dua hari pada 25 Ogos lalu selepas dibenarkan mahkamah mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membenarkan tertuduh dalam sesuatu kes menjadi saksi bagi pihak pendakwaan.

Pada 7 September lepas, pasukan pendakwaan yang ketika itu diketuai oleh Sri Ram telah menutup kes selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 43 hari bermula 18 Februari 2019.

Arul Kanda Kandasamy

Pada 24 Jun 2022, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberi keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta SPRM.

Pendakwaan juga menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Perbicaraan itu bermula pada 18 November 2019 dan memanggil saksi-saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.

Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Mantan Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette