KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi amaran kepada semua majikan untuk tidak mengunakan Pelan Pelonggaran Pekerja Asing bagi membuat tindakan seperti membuang pekerja tempatan dan digantikan dengan pekerja asing.
Menterinya, V. Sivakumar berkata, ini kerana kelulusan kuota yang diberikan bagi penggajian pekerja asing adalah untuk memenuhi keperluan guna tenaga di sektor kritikal.
Tegas beliau, majikan yang didapati bertindak sebegini adalah melanggar Seksyen 60M Akta Kerja 1955 dan boleh dikenakan penalti sehingga RM50,000 sekiranya didapati bersalah dan kelulusan kuota pekerja asing juga akan dibatalkan.
“KSM juga menerima laporan daripada Perwakilan Diplomatik Bangladesh mengenai insiden pekerja asing warga Bangladesh yang tidak diambil majikan di KLIA.
“Ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab majikan yang memberikan imej negatif kepada negara.
“KSM juga menerima laporan daripada Perwakilan Diplomatik Bangladesh mengenai insiden pekerja asing warga Bangladesh yang tiada pekerjaan setibanya mereka di negara ini walhal majikan tersebut telahpun diberikan kelulusan kuota pekerja asing,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kes-kes pembuangan pekerja tempatan oleh majikan dan digantikan dengan pekerja asing yang mana insiden terbaharu melibatkan majikan di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Sivakumar turut mengingatkan majikan yang mengajikan pekerja domestik warga asing untuk bertanggungjawab terhadap bayaran gaji bulanan
yang dinyatakan secara jelas di dalam kontrak pekerjaan.
“Tindakan segelintir majikan yang tidak bertanggungjawab ini telah menjejaskan imej dan kredibiliti negara kerana ianya akan menyukarkan rundingan dengan negara-negara sumber tentang aspek keperluan guna tenaga pekerja asing termasuk pekerja domestik,” katanya.
Pada masa sama, Sivakumar memberitahu, KSM telah selesai mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Agensi Perwakilan Swasta (APS) untuk mendapatkan gambaran yang jelas mengenai aspek pengambilan pekerja asing daripada negara sumber.
“Pertemuan ini juga adalah selaras dengan keprihatinan Perdana Menteri mengenai kos pengambilan yang tinggi untuk pekerja asing dan melihat bagaimana APS dapat bekerjasama dengan kerajaan mengenai perkara ini.
“Saya percaya bahawa pihak APS akan memberikan sokongan kepada tekad dan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan kepada majikan dalam aspek pengambilan pekerja asing.
“Ini adalah kerana proses pengambilan pekerja asing telah banyak memberikan kesan kepada reputasi negara khususnya berkenaan perhambaan hutang serta elemen buruh paksa.
“Ini juga telah mengakibatkan sekatan kepada produk tempatan untuk pasaran di Amerika Syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette