MUKADIMAH Ucapan Belanjawan 2023 : Membangun Malaysia Madani oleh YAB PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari 2023 dimulakan dengan Firman Allah dalam surah Yusuf, ayat 55 yang antara lain bermaksud “Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya (Amanah), lagi mengetahui (cara mentadbirnya).” Ia sekali gus merupakan satu pertanggungjawaban yang wajib dipikul oleh seluruh anggota perkhidmatan awam yang sebelum ini berjanji bertaat setia berkhidmat untuk negaranya.
Dalam menempuh ketidaktentuan ekonomi global; agihan belanjawan yang dilakukan dengan sifat amanah, kejujuran dan ketelusan bukan lagi sekadar kata-kata muluk di mulut. Ia merupakan sebuah iktikad iman besar yang perlu diucapkan dan dijelmakan oleh setiap penjawat awam dengan perbuatan.
Dalam masa yang sama kepantasan untuk memahami dan melaksanakan perbelanjaan yang diperuntukkan tanpa melakukan kesilapan kali pertama sangat-sangat dituntut. Tidak boros dan membazir dalam mengatur menyusun serta menetapkan belanjawan yang dipersetujui merupakan sesuatu kerja tanpa kompromi. Belanjawan 2023 menggariskan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad.
Terangkum dan mampan
Tekad Pertama ialah pemacuan ekonomi yang terangkum dan mapan. Ia melibatkan usaha-usaha kutipan perolehan dan meningkatkan hasil kerajaan yang berkesan serta progresif. Selain itu daya cipta dan kebijakan mengawal paras hutang negara turut dituntut. Dengan penetapan unjuran pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus pada tahun 2023, langkah penguatkuasaan setiap agensi berasaskan hasil (contoh LHDN) hinggalah kepada agensi berasaskan perkhidmatan (contoh Universiti) harus dilampirkan dengan iltizam bersungguh-sungguh.
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dihasilkan setiap agensi bukan lagi sekadar sebuah makalah dasar bagi tontonan sesuatu acara majlis semata-mata. Pelaksanaan yang digariskan pada Penunjuk Prestasi Teras (CPI) dan Projek Inisiatif Teras (CIP) harus difahami dan dilaksanakan oleh setiap warganya.
Pelbagai Papan Pemuka (dashboard) dan Papan Markah (scoreboard) yang menghiasi kompleksiti penyampaiannya harus dilibatkan secara mudah (engaged to facilitate) oleh pejabat strategis kepada seluruh warga penjawat awam.
Kesemuanya harus mendukung nilai Kemapanan yang menjadi Nilai Teras pertama “Malaysia Madani” iaitu mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan.
Belanjawan medium alat pulih keyakinan
Tekad Kedua ialah reformasi institusi dan tata kelola baik bagi pemulihan keyakinan. Tekad ini seiring dengan Nilai Teras kelima ”Malaysia Madani” iaitu Keyakinan yang merujuk kepada menghidupkan harapan terhadap perubahan seiring sikap amanah melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Inilah cabaran paling besar bagi perkhidmatan awam dan penjawat awam. Ia merupakan usaha mengembalikan semula keyakinan rakyat dengan anjakan medium pembaharuan urusan kerajaan agar lebih pantas, mudah dan telus. alam menterjemah, melaksana dan mengagih belanjawan negara – penjawat awam harus bersikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal.
Dalam mengurus sejumlah peruntukan belanjawan antara elemen negatif yang perlu diberikan perhatian ialah tiadanya agihan dengan keputusan silo, mentaliti silo dan budaya silo. Ia harus dibuang jauh dengan usaha strategik meminimumkan pembaziran.
Segala-galanya boleh dilakukan dengan sifat mahu berubah dan menerima perubahan. Perubahan adalah merupakan satu “Hijrah” pergerakan, perpindahan atau peralihan daripada satu keadaan kepada keadaan yang berbeza lebih baik. Mentaliti yang tidak mahu berubah kerana faktor keselesaan sedia ada, tidak mahu wujud konflik dan tidak mahu ambil risiko yang tidak pasti harus dibuang jauh.
Menyederhanakan kesenjangan
Tekad Ketiga ialah keadilan sosial untuk menyederhanakan kesenjangan. Penjawat awam harus hadam dan menjiwai senario ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat. Sifat ihsan (kesedaran) dan rahmah (belas kasihan) harus diteliti dalam kepelbagaian agihan peruntukan belanjawan yang dipertanggungjawabkan.
Nilai Teras “Malaysia Madani” keenam iaitu Ihsan menggagaskan penjawat awam yang belas ihsan nasib semua pihak melalui tindakan-tindakan pemberdayaan kemanusiaan. Ia juga harus dipasakkan bersama Nilai Teras “Malaysia Madani” keempat iaitu Hormat yang merujuk kepada perilaku budi bahasa penjawat awam kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan.
Pembentangan Belanjawan 2023 yang dibentang untuk kali ke duanya pada penghujung bulan Februari memerlukan sektor awam mengurus, mengagih dan melaksana dengan tindakan pantas. Al Quran dalam Surah Al-Ra’ad (13:11) memetik: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.
Prejudis dan stigma masyarakat perlu dikikis. Nilai kerjasama dalam kalangan ahli sektor awamlah yang paling penting dalam melahirkan seberapa banyak sumber dan tenaga yang dapat digarap dan bergerak sederap.
Baki 10 bulan yang tinggal harus dimanfaatkan sepenuhnya. Marilah berubah dan bersatu dalam menggalas kepercayaan rakyat demi kesejahteraan ekonomi negara. Setiap wang rakyat dipulang semula kepada rakyat dengan pengurusan belanjawan berkesan.
Dr. Lutfan Jaes
Dekan
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)