KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mendakwa ada syarikat penerbangan yang telah buang lebih ramai pekerja tempatan daripada pekerja asing.

“Jika mahu rekod, kesatuan boleh serahkannya kepada Kementerian Sumber Manusia, tidak ada masalah,” kata Sekretariat NUFAM dalam satu kenyataan.

Lantaran itu NUFAM mahu perkara ini disiasat kerana Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, syarikat tempatan boleh dikenakan tindakan undang undang jika berbuat demikian.

Malah, NUFAM juga sentiasa menyambut baik kenyataan tersebut.

Jelas kesatuan itu, NUFAM mendapati ramai pekerja tempatan telah dihentikan berbanding dengan pekerja asing dan pelik mengapa ada syarikat masih boleh menyimpan ramai pekerja asing sejak pandemik Covid-19.

“Isu ini telah dibangkitkan oleh kesatuan terhadap tindakan oleh syarikat yang telah melanggar syarat dalam Akta Kerja.

“Tapi malangnya tiada apa apa tindakan diambil oleh agensi yang sepatutnya memantau pembuangan pekerja tempatan berskala besar,” ujarnya.

Pada tahun 2020, beribu pekerja tempatan diberhentikan dan keupayaan syarikat penerbangan mengekalkan pekerja asing adalah pelik.

“Syarikat penerbangan ini tidak langsung memberhentikan pekerja asing mereka atas sebab polisi syarikat, yang kami rasa tidak masuk akal.

“Nisbah pekerja kru kabin tempatan yang telah dihentikan amat besar sekali dan ramai antara mereka ini masih mengalami masalah untuk mendapat kerja tetap sehingga hari ini.

“Justeru NUFAM juga mengesa agar Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan terhadap syarikat penerbangan yang telah melanggar syarat ini tanpa memihak kepada syarikat ini,” tambahnya.

NUFAM menyifatkan perkembangan ini adalah tindakan zalim terhadap pekerja tempatan apabila ramai pekerja ini mengadu mereka hilang kelayakan untuk mendapat kerja apabila mereka dipanggil semula untuk ditemuduga oleh syarikat penerbangan selepas pasca Covid-19. – MalaysiaGazette