Armizan Mohd. Ali melawat Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Pagoh, Muar, Johor.

MUAR – Kerajaan akan menyegerakan pemberian wang ihsan kepada penduduk terjejas banjir di Johor baagi meringankan beban mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, bantuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu akan akan mengambil masa selewat-lewatnya seminggu.

“Di peringkat Nadma pusat baru-baru ini, kita telah tetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang mana bantuan ini dalam tempoh seminggu paling lewat, peruntukan itu saya beri jaminan sudah disalurkan ke negeri dan daerah terlibat.

“Itu Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sebaik sahaja kita menerima maklumat yang disahkan oleh jawatankuasa pengurusan bencana dan daerah,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Pagoh, dekat sini, hari ini.

Tambah beliau, bagi mengagihkan bantuan bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang berskala besar seperti yang berlaku di Johor, ia memerlukan masa untuk semakan status dan data.

“Ini semuanya untuk kita pastikan agar tiada pertindihan dalam memastikan semua mangsa yang berkelayakan menerima bantuan.

“Cuma masalahnya di sini adalah kepada mereka atau mangsa tang ditempatkan di PPS atau mereka yang enggan ke PPS, ini memerlukan semakan yang bukan hanya pejabat daerah, namun jentera di peringkat kampung,” ujarnya.

Armiza berkata, walaupun jumlah bantuan yang diberikan tidak seberapa, kerajaan berharap ia dapat meringankan beban penerima. – MalaysiaGazette