PUTRAJAYA – Malaysia perlu meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras negara kepada sekurang-kurangnya 80 peratus bagi memastikan keterjaminan makanan berada pada tahap lebih selesa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tahap SSR beras masih berada di bawah paras berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana beras merupakan antara makanan asas rakyat.
“Kalau berada di sekitar bawah 60 peratus untuk keselamatan makanan negara tidak berapa baik.
“Sekurang-kurangnya kita kena berada di tahap 80 peratus, barulah kita boleh mengatakan keterjaminan makanan kita, terutama beras, akan ada dalam zon selesa,” katanya berucap meluncurkan Laman Padi dan Pengiktirafan The Malaysia Book of Records sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.
Dalam pada itu, menurut Mohamad, kemerdekaan sesebuah negara turut berkait rapat dengan keupayaan memastikan rakyat memperoleh bekalan makanan mencukupi.
“Apakah makna sebuah negara yang merdeka sekiranya kita tidak mampu memastikan rakyatnya membeli makanan yang mencukupi,” katanya.
Mohamad berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus memperkukuh ekosistem padi dan beras negara termasuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh rantaian bekalan, memperluaskan penggunaan teknologi serta menggalakkan inovasi.
“Kita mahu menggalakkan syarikat dan pihak berkemampuan membuka kawasan sawah yang lebih besar menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan tanah yang sesuai.
“Kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah amat perlu untuk mencukupkan SSR beras ini,” katanya.
Katanya lagi, usaha meningkatkan pengeluaran tidak boleh hanya tertumpu kepada satu aspek sebaliknya perlu meliputi keseluruhan rantaian industri padi dan beras.
“Kita mahu meningkatkan produktiviti. Kita mahu memperkukuh rantaian bekalan. Kita mahu memperluaskan penggunaan teknologi.
“Kita mahu menggalakkan inovasi dan kita mahu membuka lebih banyak ruang penciptaan nilai kepada seluruh rantaian industri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















