KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pengalaman perbincangan beliau dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed Zayed Al Nahyan semalam.
Menerusi hantaran Facebook, Perdana Menteri memaklumkan, Malaysia dan UAE mempunyai hubungan dua hala yang cukup erat dan kedua-dua negara sepakat untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, dan tenaga.
“Saya juga ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Mulia Sheikh Mohamed di atas bantuan UAE terhadap Malaysia dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Syria baru-baru ini.
“Saya berharap dapat mengadakan lawatan ke UAE dalam masa terdekat dan berbesar hati untuk menerima lawatan Yang Mulia Sheikh Mohamed ke Malaysia pada tahun ini,” katanya di laman sosial itu.
Turut disertakan dalam hantaran itu rakaman perbualan beliau dengan Mohamed Zayed menerusi telefon. – MalaysiaGazette