Mayat manusia tidak berkepala yang dikerat enam bahagian ditemui dalam bagasi di tepi lebuhraya berhampiran Rawang Selatan 17 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Seramai 12 orang suspek yang ditahan berhubung penemuan mayat lelaki warga asing yang dikerat tanpa kepala dan disumbat dalam bagasi pakaian sebelum ditinggalkan di tepi jalan Kilometer 447, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 17 Januari lalu akan diheret ke mahkamah esok.

Kesemua suspek dipercayai warga asing itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam jam 9 pagi.

“Seorang daripada suspek itu akan dituduh membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Manakala baki 11 suspek akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) dengan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresin 1959/63 serta akan turut dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah dalam kes ini,” kata jurucakap polis hari ini.

Pada 17 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, menerusi satu kenyataan mengesahkan penemuan mayat yang kemudian disahkan warga asing.

ARTIKEL BERKAITAN:Mayat tanpa kepala dikerat enam dalam bagasi ditemui tepi Lebuhraya Utara Selatan

Mayat dikerat enam: Mangsa sudah meninggal dunia 12 jam sebelum ditemui

Mayat manusia dikerat dalam bagasi adalah lelaki warga asing

Katanya, polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 11.45 pagi sebelum berjaya menemui keratan badan (pinggang ke atas tanpa kepala) di tepi jalan serta menemui satu bagasi berhampiran keratan badan di lokasi.

“Hasil pemeriksaan di dalam bagasi pula kita menjumpai serpihan potongan badan dan mayat dalam keadaan tidak sempurna kerana tiada kepala serta kedua-dua tangan dan kaki.

“Identiti mayat dan jantina belum dikenal pasti berikutan mayat tidak lengkap dan tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, polis juga mengesahkan identiti mayat itu adalah seorang lelaki warga asing dan punca kematian sebenar mangsa adalah akibat Multiple Blunt and Sharp injuries yang dikesan pada anggota badannya semasa dibedah siasat di jabatan forensik hospital.

Hasil siasatan polis terhadap kesemua suspek yang ditahan mendapati motif pembunuhan mangsa berusia 48 tahun itu kerana dendam peribadi.

Suspek dan mangsa adalah rakan sekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah pangsapuri di Sungai Buloh.

Mangsa telah dibunuh dan dikerat di sebuah bilik stor pangsapuri tempatnya bekerja oleh rakan senegaranya sebelum dicampak di tepi lebuhraya PLUS itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast