Geoffrey Sinn Chun Hou

KOTA KINABALU Industri kreatif di Sabah menjanjikan masa depan cerah yang akan memacu ekonomi negeri ini ke tahap baharu yang lebih tinggi.

Pengetua Akademi Kreatif SCENIC (SCA), Geoffrey Sinn Chun Hou berkata, ia sejajar unjuran nilai global ekonomi kreatif yang mencecah $985 bilion pada 2023 seperti dilaporkan G20 Insights.

Katanya, jumlah itu boleh mewakili 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebelum 2030.

Beliau berkata, industri kreatif bukan hanya mampu menjana hasil yang signifikan untuk memandu ekonomi negeri, malah berpotensi memberi kesan positif kepada industri besar yang lain.

“Contohnya pelancongan, pertanian, pembuatan dan industri besar lain yang ada di Sabah boleh memanfaatkan pelbagai tahap bakat kreatif yang ada untuk mengembangkan perkongsian pasaran mereka dan meninggalkan pesaing mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pada 2020, Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) ditauliahkan sebagai Pusat Latihan Toon Boom yang sah, iaitu pertama di Malaysia.

Kini, SCENIC, satu inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah memutuskan mewujud dan melantik SCA bagi mengurus program pembangunan bakat dan kreatif di Sabah.

Akademi berkenaan antara lain menyediakan latihan industri dan program persijilan, peluang meningkatkan kemahiran serta kempen penempatan pekerjaan.

Esok, seramai 10 pelajar kumpulan pertama akan bergraduasi daripada SCA selepas enam bulan mengikuti Program Bridging Industri Toon Boom dan mendapat penempatan pekerjaan.

Geoffrey menambah, Sabah kaya dengan warisan budaya yang penuh dengan bakat kreatif dalam bidang seperti muzik, seni persembahan, seni dan reka bentuk, pembuatan filem serta animasi.

“Walaupun kaya dengan bakat, kurangnya industrilisasi dan peluang pekerjaan dalam industri kreatif mengehadkan pertumbuhan bakat tempatan dan menyukarkan mereka bersaing dalam pasaran global.

“Situasi ini bagaimanapun mula berubah dengan kehadiran SCA selaku satu inisiatif tempatan yang disasar untuk membuka kunci potensi bakat kreatif Sabah.

“Usaha ini dilaksanakan bagi mentransformasi bakat menganggur kepada tenaga kerja kreatif yang mahir yang dapat memandu masa depan ekonomi kreatif di Sabah.

“Ia kekal dilihat tidak kira sama ada kerajaan terlepas pandang lombong emas bakat kreatif di Sabah atau memberi sokongan terhadap apa yang mereka perlukan untuk menyinar,” katanya.

Mengenai usaha untuk menarik lebih ramai rakyat Sabah ke dalam industri kreatif, Geoffrey berkata, bidang akademik akan memastikan bakat kreatif di Sabah diberi pendedahan yang betul selain latihan industri yang diperlukan untuk berjaya dalam industri itu.

Beliau menambah, dengan mencorongkan bakat berkelayakan kepada perniagaan kreatif yang sudah bertapak, sama ada sebagai pekerja kawalan jauh atau berasaskan fizikal, SCA menawarkan jaminan pekerjaan dan laluan kerjaya bakat kreatif di Sabah.

Katanya, ia membolehkan mereka membuang stereotaip ‘artis miskin’ dan menerima masa depan yang memuaskan serta makmur dalam industri berkenaan.

Jelasnya, skala gaji graduan baharu dan mereka yang baru menceburi industri kreatif biasanya bermula pada gaji minimum RM1,500 hingga RM2,300 dan meningkat seiring peningkatan masa hingga mencapai RM8,000 ke RM10,000.

“Gaji dalam industri kreatif boleh menjadi tinggi bergantung kepada keadaan sesuatu kerja tetapi potensi untuk terus bertumbuh dan meningkat adalah signifikan, khususnya mereka yang menerima sokongan dan latihan yang betul.

“Dengan sumber dan peluang yang tepat, kita yakin bakat kreatif Sabah boleh mencapai impian mereka dan membina kemakmuran serta mendapat ganjaran kerjaya dalam industri,” katanya. – MalaysiaGazette