Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJK(C) Kampung Tengah Segamat, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2023.

SEGAMAT – Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) penting Kerajaan Persekutuan diarahkan menyediakan keperluan kepada mangsa banjir khususnya di kawasan paling teruk terjejas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi GLC terbabit termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Yayasan Sime Darby untuk membantu rakyat terkesan.

“Saya telah hubungi semua GLC penting Kerajaan Persekutuan, GLC termasuk tenaga (TNB) akan turun selesaikan masalah bekalan elektrik dengan segera.

“Yayasan Sime Darby akan menyediakan kit-kit kesihatan untuk lebih 1,500 keluarga selain mengumpulkan dana RM20 juta tambahan untuk rakyat Johor yang dilanda banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina SJK(C) Kampung Tengah, di sini pagi ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berpuas hati dengan pengurusan bencana di negeri itu oleh semua agensi terlibat selain mangsa dapat menerima ujian Tuhan itu dengan hati yang terbuka. – MalaysiaGazette.