BUTTERWORTH – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membelanjakan RM615,000 bagi menyediakan bekalan stok makanan, untuk dihantar ke negeri-negeri yang sedang terjejas banjir sekarang ini.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semua bantuan makanan itu masih dalam proses penghantaran dan diharap mencukupi untuk menampung keperluan mangsa banjir ketika ini.
“Kita masih dalam proses hantar makanan dan telah belanja RM615,000 untuk stok makanan, namun ia masih tidak mencukupi kerana di Johor sahaja 40,000 lebih (mangsa banjir) yang terjejas, kita juga menerima bantuan daripada Yayasan Kebajikan Negara iaitu sumbangan RM50,000.
“Saya nak war-warkan untuk mereka yang ingin membantu mangsa banjir, mereka boleh menderma menerusi Yayasan Kebajikan Negara…kalau ada di luar sana membantu syukur Alhamdulilah.
“Setakat ini saya dengar ada yang cuba berikan bantuan dan saya minta pihak di luar sana sana yang mempunyai kemampuan untuk membantu, agar dapat bersama-sama (membantu) mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas lawatan turun padang di Laman Wanita Tasek Gelugor, di sini hari ini.
Sehingga pagi tadi, Bernama melaporkan keadaan banjir di beberapa negeri semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat kepada 48,989 orang setakat pagi ini.
Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 44,860 orang diikuti Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).
Mengulas lanjut, Nancy berkata pihaknya turut menambah petugas dari beberapa negeri lain ke negeri yang terjejas banjir, terutama Johor yang paling teruk di landa banjir ketika ini, selain melakukan persiapan dan bersiap siaga berhubung ramalan berlaku banjir di Sabah dan Sarawak pada pertengahan Mac ini.
“Kami akan terus bantu memberi bantuan, bukan sahaja makanan, malah turut memberikan kaunseling dan membantu menghiburkan kanak-kanak, serta bermain dengan mereka supaya tidak bosan di PPS,” katanya.
Sementara itu, Nancy berkata tiga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terperangkap dalam banjir di Yong Peng, Johor pada 1 Mac, telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika menjalankan tugas hari itu.
Beliau berkata ketika kejadian mereka dalam perjalanan menghantar bekalan makanan di PPS di kawasan tersebut, sebelum terkandas dan terperangkap dalam banjir namun berjaya diselamatkan sejam kemudian.
“Sebenarnya kejadian itu berlaku hari pertama (berlaku banjir) iaitu waktu dinihari dan terkandas…namun pegawai-pegawai JKM tersebut telah mengikut SOP malah sudah biasa dengan SOP, cuma keadaan hari itu mungkin kurang persediaan dari diri, malah tidak tahu kawasan mana yang air (banjir) naik,” katanya. – BERNAMA