SEGAMAT – Kerajaan tidak perlu mengumumkan darurat bencana kerana situasi banjir yang sudah mulai surut di beberapa kawasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu jangkaan hujan juga semakin berkurangan walaupun terdapat isu banjir termenung di sesetengah tempat.
“Walaupun ada masalah (banjir) di tempat (air) termenung (bergenang), itu mengambil masa, tapi tak perlu darurat setakat ini. Keadaan (banjir) pun dah mulai surut hari ni,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina SJK(C) Kampung Tengah, di sini pagi ini.
Keadaan banjir di beberapa negeri hari ini menyaksikan seramai 48,989 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.
Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 44,860 orang diikuti Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).
Di Johor setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 44,860 orang membabitkan 13,029 keluarga ditempatkan di 260 PPS meliputi 10 daerah yang terjejas. – MalaysiaGazette.