Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac tahun 2023 ketika di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan skim gaji penjawat awam akan menjadi keutamaan apabila pendapatan negara bertambah.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata, perkara itu tidak mungkin dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Tentang skim gaji, itu bila pendapatan negara bertambah, skim gaji jadi keutamaan penjawat awam, Insya-Allah.

“Untuk bulan ini tidak mungkin,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini, hari ini.

Sebelum ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan memberi jaminan padu kepada penjawat awam untuk mencari jalan menyediakan skim gaji dan upah yang lebih kompetitif kepada mereka.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, sebahagian daripada penjawat awam terutama dalam kumpulan sokongan, membabitkan keluarga berpendapatan rendah dan perlu dibantu namun tidak bermakna ia perlu dilaksanakan serta-merta,

Susulan kenyataan CUEPACS itu, Anwar berkata, kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

Perdana Menteri mengakui beliau secara peribadi, tidak berpuas hati apabila melihat gaji dan upah semasa penjawat awam ketika ini, berbanding tugas serta komitmen yang diberikan.

Sementara itu, Anwar memberi beberapa gambaran positif hasil dan pendapatan negara pada sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Khamis ini.

“Tapi Insya-Allah hari Khamis dalam penggulungan, bagi pihak jemaah menteri, saya akan gulung,

“Bagi pihak JPM dan Kementerian Kewangan selain daripada yang telah dibuat menteri-menteri, saya akan memberi beberapa gambaran yang sangat positif, baik dari segi hasil kita, pendapatan negara, jumlah pelaburan yang ‘real’, ini bukan MoU (perjanjian persefahaman) ya, ada orang kata ada beza MoU dengan ‘MO Do’.

“Jadi kalau saudara yang senior yang pernah berada di MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), tahu pengumuman pelaburan RM30 bilion, tapi kadang-kadang dua tahun tidak sampai lagi.

“Jadi sebab itu saya setuju dengan rakan jemaah menteri, elok kita gunakan kaedah berbeza untuk menyatakan apa yang berlaku bulan ini atau bulan-bulan berikutnya dari segi tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette