KUALA LUMPUR – Tan Cheng Hoe masih terselamat daripada mengalami kekalahan pertamanya dalam saingan Liga Super bersama Selangor sejak dilantik sebagai Ketua Jurulatih Gergasi Merah pada penghujung September tahun lepas.
Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu berjaya memberi impak segera biarpun mengambil alih tugas di penghujung musim apabila Selangor meraih tiga kemenangan dan seri sekali dalam baki empat perlawanan Liga Super musim 2022.
Rekod tanpa kalah jurulatih berusia 54 tahun itu kemudian semakin lebar selepas pasukan yang paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia dengan rekod kejuaraan sebanyak 33 kali itu, mencatat dua kemenangan dan seri sekali dalam tiga aksi pertama musim ini.
Bagi Cheng Hoe, rekod itu antara lain memberi motivasi kepadanya untuk terus memajukan pasukan menerusi keputusan positif dalam setiap perlawanan.
“Sebagai jurulatih, rekod itu motivasi kepada saya, inspirasi untuk saya terus kekalkan rekod yang terbaik. Komitmen dan pujian kepada setiap pemain dalam pasukan kerana cukup komited dalam latihan dan perlawanan (dan) disebabkan itu kita dapat keputusan yang diinginkan.
“Tetapi masih lagi banyak yang perlu ditingkatkan, dari segi kesilapan individu yang boleh akibatkan pasukan dibolosi gol. Saya yakin dengan kualiti pemain, mereka akan belajar dalam setiap perlawanan dan jadi lebih baik untuk aksi seterusnya,” katanya selepas perlawanan menentang Sri Pahang, semalam.
Pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, Selangor bangkit mengikat Sri Pahang 1-1 menerusi tandukan kapten, Brendan Gan pada minit ke-88, selepas Stefano Brundo meletakkan Tok Gajah di depan pada minit ke-74.
Selangor kini di persada liga dengan mengumpul tujuh mata, namun kedudukan mungkin berubah jika Sabah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya merakam kemenangan apabila bertemu lawan masing-masing pada aksi malam ini.
Sementara itu, Cheng Hoe mengakui rata-rata pemainnya masih menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan terutama pemain di bahagian serangan menjelang aksi keempat bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang Ahad ini.
Sebagai rekod, kekalahan 1-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) pada 14 September tahun lepas merupakan kali terakhir Selangor tewas dalam saingan Liga Super, sebelum Cheng Hoe tiba menggantikan pengendali interim Mohd Nidzam Jamil yang kini menjadi salah seorang daripada dua pembantunya.
Musim lalu juga Cheng Hoe membawa Selangor mara ke final Piala Malaysia tetapi tewas kepada JDT 1-2 sekali gus terlepas peluang menambah koleksi kejuaraan, selepas pernah membantu Kedah muncul juara Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017. – Bernama