GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini menyaksikan Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) membentangkan usul tanpa pemberitahuan.
Usul itu dibentang bagi mencadangkan supaya ketetapan diambil terhadap dakwaan ucapan provokasi yang bersifat menghasut dan ekstremis oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kedaulatan negeri Pulau Pinang.
Guan Eng mencadangkan kerajaan negeri berikrar bersedia menggunakan segala tenaga termasuk mengerahkan dan menggerakkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk membela serta mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang daripada dicemuh, diragui ataupun dicerobohi Menteri Besar Kedah.
Ketika membahas usul Guan Eng, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata, kerajaan negeri memandang serius kenyataan Muhammad Sanusi selain mengingatkannya berhati-hati dalam ucapan.
“Tindakan Muhammad Sanusi boleh mendedahkan dirinya kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana menimbulkan perasaan ‘kurang senang’ dalam kalangan penduduk kedua-dua negeri.
“Malah, dia (Muhammad Sanusi) sepatutnya membawa isu itu ke mahkamah kerana ia bukan semata-mata melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, bahkan secara tidak langsung mempersoalkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ‘penjaga’ kepada negeri-negeri yang tidak beraja,” katanya.
Usul tanpa pemberitahuan itu kemudiannya diterima sebulat suara, selepas dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya Mohd Yusni Mat Piah (PN-Penaga); Muhammad Faiz Fadzil (PH-Permatang Pasir); M. Satees (PH-Bagan Dalam) dan Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua).
Sementara itu, Persidangan DUN Pulau Pinang yang berlangsung selama dua hari sejak semalam, ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Sepanjang persidangan dua hari itu, sebanyak 69 soalan lisan, 586 soalan bertulis, dua usul serta satu rang undang-undang dikemukakan. – MalaysiaGazette