Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Invest Malaysia di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan memperuntukkan RM1.5 bilion pada tahun bagi melabur ke dalam syarikat pemula tempatan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai tanda komited kerajaan untuk menyokong syarikat pemula tempatan berpertumbuhan tinggi dari peringkat awal sehingga ia disenaraikan di Bursa Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memberitahu potongan cukai akan diberikan ke atas kos penyenaraian untuk penyenaraian syarikat di Pasaran ACE dan LEAP.

“Pada masa sama, saham teknologi ke Pasaran Utama dan syarikat tersenarai akan dibenarkan menerbitkan saham dwi kelas.

“Kerajaan ingin memastikan bahawa syarikat pemula yang berjaya akan mendapat akses kepada pembiayaan di peringkat seterusnya di Malaysia supaya mereka tidak perlu mencari penyenaraian di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia dan Maybank di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan adalah bahagian penting perundangan yang bergerak ke hadapan.

Jelas beliau, ini isu seperti pembaziran, ketirisan, kekurangan ketelusan dan akauntabiliti telah lama menghalang usaha terbaik untuk memajukan negara.

“Bencana rasuah, keuntungan yang diperoleh secara haram dan suapan tidak mempunyai tempat di negara ini. Rakyat berhak lebih baik, begitu juga perniagaan dan pelabur yang tertarik dengan kelebihan unik kita.

“Pembaharuan yang telah kita lakukan, dan yang akan kita lakukan pada masa yang sesuai, semuanya membabitkan berkenaan pembaziran dan kerugian ini. Contohnya, ketelusan dalam pemberian perolehan dan pelaksanaan kualiti mana-mana perniagaan kerajaan kini menjadi peraturan, bukan lagi kebiasaan semata-mata.

“Walaupun ada pihak mempersoalkan langkah pentadbiran ini berterus terang dalam mengetengahkan isu-isu seperti ini, kerana percaya ia mencemarkan imej negara kita, kami percaya sebaliknya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast