ALOR SETAR – Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengemukakan permohonan untuk membangunkan projek Kedah Aerotropolis.
Muhammad Sanusi berkata sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, pihaknya telah membentangkan cadangan projek itu dalam mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara pada Ogos dan Oktober 2020.
Beliau berkata permohonan rasmi kepada dua Perdana Menteri sebelum ini juga sudah dikemukakan untuk dibawa masuk ke Mesyuarat Kabinet selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) bagi mendapatkan penelitian Unit Kerjasama Awam dan Swasta.
“Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan media pada 19 Mac 2019 juga telah mengumumkan kelulusan projek berimpak tinggi termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
“Sesi libat urus kerajaan negeri dengan Kementerian Pengangkutan yang masing-masing diketuai oleh saya dan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan ketika itu) telah diadakan pada 21 Ogos 2020 di Kementerian Pengangkutan dan berjaya mendapat kelulusan projek,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Loke pada sesi Dewan Rakyat dilapor menafikan bahawa Kerajaan Persekutuan membatalkan projek itu sebaliknya berkata permohonan untuk merealisasikannya belum dilakukan oleh Kedah.
Muhammad Sanusi juga berkata setakat ini, dua surat permohonan untuk membentangkan cadangan projek itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dihantar namun belum dijawab.
Beliau berkata kerajaan negeri amat serius untuk melaksanakan projek itu dan telah membelanjakan hampir RM30 juta bagi menyediakan kajian teknikal serta segala dokumen yang diperlukan.
“Tidak perlu ada keraguan oleh mana-mana pihak terutama Kerajaan Persekutuan kerana ini adalah projek Kerajaan Negeri Kedah melalui pembiayaan swasta (PFI),” katanya.
Projek Kedah Aerotropolis, yang dirangka untuk memacu transformasi ekonomi negeri itu, akan dibangunkan di kawasan seluas 9,800 ekar (3,965 hektar) di Mukim Sidam Kiri dalam daerah Kuala Muda, merangkumi pembinaan KXP selain industri sokongan termasuk Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam.- BERNAMA