Mohamad Ghazali (kiri) yang mewakili YBR menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Segamat.

SEGAMAT – Seramai 171 mangsa banjir yang terkesan akibat bencana itu di sekitar Segamat minggu lalu, menerima bantuan tunai daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Bantuan berjumlah RM44,200 itu diagihkan RM200 kepada setiap keluarga bagi meringan beban mereka.

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, pihaknya terpanggil untuk turun padang menghulurkan bantuan, di samping menyantuni mereka yang terkesan dengan kejadian banjir di kawasan itu minggu lalu.

Beliau berharap, bantuan yang diagihkan itu sekurang-kurangnya dapat melegakan mereka yang berdepan dengan musibah banjir dan membolehkan menjalani kehidupan harian seperti biasa.

“Bantuan khas ini diberikan kepada setiap keluarga yang telah dikenalpasti melalui Persatuan Belia Generasi Merdeka bagi memudahkan proses pengagihan dibuat.

“Bantuan ini dapat membantu ketua keluarga yang terjejas dan pihak YBR akan mengusahakan lebih banyak bantuan lagi bagi meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bantuan khas itu telah disempurnakan Penaung Persatuan Belia Generasi Merdeka, Datuk Bastien Onn di Dewan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam, Gemereh Segamat.

Turut hadir, Ketua Kampung Bukit Kledang, Supardi Jumat; wakil Komuniti Bendahara Kampung Lubuk Batu, Mohd Ismail Abd Latip; dan Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin yang mewakili yayasan itu.

Mohamad Ghazali (tengah) bersama wakil komuniti dan penduduk yang terkesan dalam kejadian banjir baru-baru ini.

Menurut Syaiful Rizal lagi, pihaknya amat bersimpati dengan kerugian dialami mangsa disebabkan oleh bencana itu dan sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam menyediakan keperluan asas pasca banjir.

Katanya, usaha murni itu diharapkan dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mangsa banjir dalam meringankan urusan kewangan bagi persediaan anak yang bakal kembali ke sekolah minggu depan.

Pada tahun 2022, YBR telah memperuntukkan lebih RM800,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette