Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Firma penyelidikan melihat kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar untuk Kadar Dasar Semalamannya (OPR) pada paras semasa untuk tempoh yang lebih lama, berikutan ia tidak dinaikkan pada Januari dan Mac.

Kenanga Research berkata pandangan ini disokong oleh matlamat utama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk “menentukur penetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko kepada inflasi domestik dan pertumbuhan mampan”, dan bahawa “normalisasi kepada tahap akomodasi dasar monetari akan berdasarkan keadaan yang berubah dan implikasinya kepada inflasi domestik dan prospek pertumbuhan.”

“Berdasarkan prospek pertumbuhan dan inflasi yang dijangka sederhana pada tahun ini dengan risiko penurunan dari aspek luaran, kami menjangka kemungkinan yang kecil bahawa BNM akan meneruskan kenaikan kadarnya dalam tempoh terdekat.

“Oleh itu, tanpa mengambil kira kejutan luar dan domestik yang tidak dijangka mengenai prospek pertumbuhan dan inflasi, kami menjangka OPR akan kekal tidak berubah pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam nota berasingan, Public Investment Bank berkata dengan subsidi masih berkuat kuasa, ia mengekalkan pandangan bahawa BNM dijangka akan mengekalkan pendirian tunggu dan lihat dengan mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus pada mesyuarat MPC pada Mei.

“Bagaimanapun, walaupun keputusan pada masa depan akan bergantung kepada data, kami melihat kemungkinan satu lagi kenaikan kadar 25 mata asas (bps) kepada 3.00 peratus pada separuh kedua 2023, dalam paras sebelum pandemik, tetapi ini bergantung kepada kemungkinan rasionalisasi subsidi bahan api pada separuh kedua 2023,” katanya.

Sementara itu, CGS-CIMB Securities turut mengekalkan prospeknya untuk unjuran OPR pada akhir 2023 sebanyak 3.25 peratus, dengan kadar kekal pada separuh pertama 2023 dan dua kenaikan 25bps pada separuh kedua 2023.

“Dari perspektif kami, BNM dijangka akan menaikkan kadar faedah pada separuh kedua 2023 berdasarkan beberapa faktor, termasuklah pembukaan semula China yang akhirnya membawa kepada pemulihan ekonominya dengan peningkatan yang kukuh untuk Indeks Pengurus Pembelian pada Februari, merujuk kepada kesan limpahan yang positif ke arah pertumbuhan global,” katanya dalam Kemas Kini Ekonominya.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan jangkaannya BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25bps lagi seawal Mei, menjadikan kadar tersebut kepada 3.00 peratus pada akhir tahun.

“Menurut MPC, pendirian dasar monetari semasa kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, jawatankuasa itu menyatakan bahawa ia akan terus berhati-hati mengenai faktor kos, termasuk yang wujud daripada perkembangan pasaran kewangan, yang boleh menjejaskan prospek inflasi,” katanya dalam laporan Ekonominya.

Bagi Maybank Investment Bank (Maybank IB), katanya bank pusat memutuskan untuk kekal dalam sentimen “menghentikan seketika” berikutan Pernyataan Dasar Monetari (MPS) menunjukkan bahawa ia masih menilai impak daripada kenaikan OPR 100bps kumulatif pada tahun lepas berdasarkan impak daripada dasar monetari ke atas ekonomi 12-18 bulan selepas permulaan kitaran kenaikan OPR pada Mei 2022.

“MPS turut mengekalkan perkataan ‘normalisasi’, membayangkan menghentikan seketika pada masa ini tidak bermakna berakhirnya kitaran kenaikan OPR.

“Kami menjangka kenaikan 25bps lagi untuk membawa OPR kembali kepada paras sebelum COVID-19 pada 3.00 peratus, dengan tumpuan kepada tiga mesyuarat MPC yang akan datang pada 2-3 Mei, 5-6 Julai dan 6-7 Sept pada tahun ini.

“MPS menyatakan bahawa ia memantau faktor kos – termasuk yang wujud daripada perkembangan pasaran kewangan – yang boleh menjejaskan prospek inflasi,” menurut Maybank IB dalam laporan Ekonominya.

— BERNAMA