ALOR GAJAH – Kegembiraan lapan sekeluarga meluangkan masa cuti sekolah berkelah di pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripadanya tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang semalam mangsa, SVK Baskaran, 52, disedari tertiarap di dalam air oleh ahli keluarganya yang kemudian menjerit meminta pertolongan.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah, Mohd Fitri Abdul Hanif yang ketika itu sedang bertugas berkata, dia bersama tiga lagi anggota bergegas ke lokasi untuk memberikan bantuan kecemasan.
“Ketika sedang memeriksa mangsa, saya dapati mulutnya berbuih dan cuba memberi pertolongan awal termasuk bantuan pernafasan, namun tiada tindak balas.
“Pada masa sama kami menghubungi ambulans sebelum pegawai kesihatan tiba dan melakukan CPR namun mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.
“Berdasarkan laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – MalaysiaGazette