Lai Yue Yi menyerahkan memorandum tuntutan kepada Mahadi.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 pelajar Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) yang terletak di Wisma R&D dalam kampus induk resah apaila ‘terpaksa’ berpindah ke kampus baharu UM@Cyber di Cyberjaya pada Julai ini.

Pelajar yang mengambil kursus diploma pengurusan perniagaan mendakwa, rasa kecewa kerana pemberitahuan dilakukan dalam tempoh yang singkat iaitu pada penghujung Februari lalu oleh Naib Canselor Prof. Datuk Dr. Mohd. Hamdi Shukor.

Menurut Setiausaha Isu Semasa Kesatuan Mahasiswa UM Lai Yue Yi, pelajar berhadapan dengan beberapa masalah antaranya pembayaran deposit sewa rumah yang tinggi.

Mereka juga perlu menanggung kos berpindah dari Kolej Kediaman 13 (KK13) serta kawasan berhampiran ke apartmen yang dijadikan asrama di Cyberjaya.

“Pihak pengurusan UMCCed telah menyediakan tempat penginapan bagi mahasiswa di Cyberjaya namun mereka terpaksa untuk membiayai deposit sebanyak RM1750 sebelum berpindah masuk.

“Tambahan pula, para mahasiswa terpaksa memindahkan barangan mereka dari KK13 ke Cyberjaya tanpa sebarang pertolongan daripada pihak pengurusan.

“Bagi mereka yang mempunyai kereta sendiri, masalah ini adalah pada tahap minima. Tetapi bagi mereka yang berasal dari negeri lain ataupun dari luar negara, ia akan menjadi satu lagi beban untuk mendapatkan perkhidmatan ‘movers’ atau menyusahkan ahli keluarga mereka untuk membantu,” katanya.

Pelajar ijazah pertama undang-undang itu berkata, pihak pengurusan boleh membantu dengan sekurang-kurang menyediakan menggunakan bas atau van milik UMCCed atau memberi subsidi kepada mahasiswa untuk berpindah.

Yue Yi ditemui selepas menyerahkan memorandum tuntutan kepada Naib Canselor yang diwakili pegawai khasnya, Mahadi Sibon di bangunan Canselori UM.

Sementara itu seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Vans, 19 berkata, beliau kesal kerana terpaksa menghabiskan semesta terakhir di Cyberjaya.

“Kenapa tidak biarkan sahaja kami habiskan semester di Wisma R&D manakala kampus baharu diisi dengan pelajar baharu.

“Kami mahu belajar di kampus induk yang bersejarah kerana ini adalah impian untuk berada dalam Universiti Malaya dan mengadakan aktiviti di sini,” katanya.

Manakala pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Kathleen Gan, 19 berkata, beliau berhadapan kerugian apabila terpaksa memejamkan mata ‘hangus’ wang deposit bilik sewa berjumlah RM2,250 kerana melanggar kontrak.

“Kontrak bilik sewa sehingga November dan kami perlu berpindah pada Julai. Saya tak boleh terus tinggal di sini kerana pengangkutan awam dari Petaling Jaya ke Cyberjaya tidak efisyen. Saya tidak boleh dapat semula wang deposit,” katanya kesal.

Pelajar juga mendakwa mereka akan menanggung bayaran sewa bilik antara RM300 hingga RM400 sebulan di Cyberjaya.-MalaysiaGazette