Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berhadapan enam pertuduhan iaitu empat membabitkan dakwaan menerima suapan berjumlah RM232.5 juta manakala dua lagi pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi ini.

Presiden Bersatu berusia 76 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon kesemua enam pertuduhan itu dibicarakan di hadapan Hakim Azura Mohd Alwi, pagi ini.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 juta yang berjumlah RM232.5 juta.

Kesemua suapan yang diterima Muhyiddin itu daripada tiga syarikat dan seorang individu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Muhyiddin boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima dan keenam, Muhyiddin didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram masing-masing RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah yayasan yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur di sini antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Pertuduhan kelima dan keenam itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada AktivitiHaram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta sama.

Akta 613 ini memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhyiddin diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan, Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib manakala Muhyiddin diwakili peguam-peguam Datuk Ahmad Terirudin Mohd. Salleh, Datuk K. Kumaraendran dan Rosli Dahlan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. ini lah masalahnya apabila, wang parti-parti di Malaysia tidak diaudit secara terperinci dan perbelanjaan untuk pilihanraya tidak dikawal. Kalau wang diberi pada individu dikira suapan tapi kalau diberi pada parti atau yayasan di kira derma. Harap parlimen dapat kuatkuasa akta.

Comments are closed.