Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan kunci rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dan 19 unit Rumah Makmur Pahang Kuala Lanar Jaya (Fasa dua) di Kuala Lipis hari ini.

LIPIS – Kerajaan Pahang berhasrat mensyaratkan pembinaan surau dapat dijalankan oleh pemaju bagi setiap projek pembangunan perumahan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya akan mencari jalan dan kaedah bagaimana ia dapat dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat murni itu.

Wan Rosdy Wan Ismail

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jelai itu juga mengumumkan kelulusan bagi membina surau bernilai RM200,000 di Projek Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2).

“Selepas ini mungkin kita kerajaan negeri akan letakkan salah satu syarat kepada pemaju untuk membina surau.

“Sebab rumah ini sudah murah, jadi kita pun fikir juga dia punya keuntungan pun sangat sikit tapi kalau kita suruh buat surau dan sebagainya mungkin pemaju tak nak buat tapi kita akan cari kaedah macam mana,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek PR1MA Pahang Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) di sini yang bernilai RM150,000 sebuah.

Beliau turut melawat rumah contoh  Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Kuala Lanar, dilengkapi tiga bilik, dua bilik air serta tandas yang diiringi bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Sebanyak 140 unit rumah PR1MA fasa dua ini siap sepenuhnya pada 22 Februari lalu dan difahamkan sebanyak 154 unit Fasa 1 sudah siap pada November 2020 manakala 228 unit lagi akan dibina pada Fasa 3 dan 4 nanti.

Pada majlis itu, Wan Rosdy juga menyampaikan supabangan kepada penerima sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Mengimarahkan Bulan Ramadan Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi di Padang Awam Projek Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast