PN Selangor
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersorak pada Perhimpunan Agung Tahunan kali yang ke lima tahun 2022 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) yakin dengan keupayaannya untuk merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, misi tersebut akan diketuai oleh Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dibantu oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin dan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurut beliau, keyakinan itu adalah bersandarkan kepada data yang diperoleh semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menunjukkan PN berpotensi untuk menang di Selangor.

“Sudah tentu kami tidak mahu terlalu yakin, kami tahu apa yang kerajaan negeri cuba lakukan sekarang.

“Saya fikir PKR tidak mahu kehilangan Selangor dan sanggup melakukan apa sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 di Dewan Wawasan, Menara PGRM, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, menteri besar akan dilantik dalam kalangan wakil rakyat Bersatu sekiranya PN menang di Negeri Sembilan dan Selangor.

Berhubung Pulau Pinang, beliau yang juga Presiden Bersatu meletakkan sasaran untuk mengurangkan majoriti kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.

Mengenai pembahagian kerusi, Muhyiddin memberitahu, prinsip status quo mungkin digunakan bagi menentukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi Bersatu, Pas dan Gerakan.

“Kecuali ada persefahaman untuk membuat pertukaran maka jawatankuasa perundingan kerusi akan bincang.

“Kerusi-kerusi yang tidak dimiliki oleh sesiapa, yang dimiliki parti-parti lawan kita akan rundingkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.