Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan menerima laporan daripada kumpulan muzik dari Indonesia, Radja yang mendakwa mendapat ugutan jenayah dan dilemparkan kata-kata kesat, pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan itu pada 5.34 pagi dan susulan itu, pihaknya telah merakam percakapan mangsa serta sedang mengesan individu yang disyaki terlibat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

“Polis Johor memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan isu ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kumpulan itu mendakwa menerima ancaman bunuh serta dilemparkan kata-kata kesat selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, di sini, kira-kira 11.15 malam tadi, dipercayai berpunca daripada salah faham antara kumpulan berkenaan dengan pihak penganjur. – Bernama