The Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Covid-19 SOP flash flood floods Labour Day public holiday
Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kebimbangan apabila ada segelintir individu yang menjadikan masjid dan surau sebagai medan untuk menyebarkan propaganda politik kepartian.

Baginda bertitah, sekiranya perkara itu dibiarkan kelak boleh menimbulkan perbalahan dan persengketaan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam kerana perbezaan fahaman dan dendam politik.

“Beta ingin mengingatkan semula kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

“Beta telah beberapa kali bertitah dan mengingatkan MAIS dan JAIS agar memastikan masjid dan surau bebas dari segala unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah di kalangan umat Islam,” titah Baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 2023, di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sultan Selangor juga mendedahkan terdapat segelintir penceramah mengambil kesempatan ketika memberi ceramah di masjid dan surau dengan menyindir, menghina, mencaci serta memfitnah pihak tertentu kerana perbezaan politik.

“Beta amat bimbang budaya sebegini jika tidak dibendung akan terus memecah-belahkan umat Islam khususnya orang Melayu,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menitahkan hanya mereka berkelayakan dan mempunyai tauliah daripada Jawatankuasa tauliah MAIS sahaja dibenarkan memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid, surau atau di mana-mana tempat di Selangor.

“Beta menegaskan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam sahaja layak untuk diberikan tauliah untuk mengajar.

“Ia bagi mengelakkan berlakunya anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah,” titah baginda.

Sementara itu, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor pada tahun ini, baginda juga mengingatkan (MAIS) mengeluarkan arahan supaya pemimpin politik tidak menjadikan masjid dan surau di Selangor sebagai pentas untuk berceramah dan berkempen.

“Beta menyeru untuk semua pihak yang mengambil bahagian di dalam pilihan raya nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat menghormati satu sama lain.

“Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan,” titah Sultan Selangor. – MalaysiaGazette