S. Kisona

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan wanita negara S. Kisona memasang hasrat untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia tahun ini.

Pemain berusia 24 tahun itu optimis mampu mengejar kedudukan itu melihat kepada corak latihannya yang disifatkan solid bersama jurulatih baharu, Mohd Zakry Abdul Latif dan rakan pasukan yang kebanyakannya lelaki.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, beliau juga kini lebih bersemangat memburu kedudukan tersebut selepas menerima tajaan sebanyak RM100,000 daripada syarikat pemaju hartanah Matrix Concept Holdings Bhd, hari ini.

“Ia satu harapan baharu dalam perjalanan karier (profesional) saya sekarang. Saya mempunyai sasaran untuk mendapatkan keputusan yang bagus.

“Sudah tentu ia mencabar kerana pada tahun lepas, corak permainan saya berbanding pemain negara yang lain ketinggalan jauh,” katanya selepas majlis penyerahan tajaan daripada Matrix Concepts di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.

Kisona yang kini berada di ranking ke-48 dunia berkata, beliau akan berusaha keras untuk mengejar kedudukan tersebut.

Pada Disember lepas, Kisona membuat keputusan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan di bahagian kakinya selain memerlukan masa lebih fleksibel bagi meneruskan kerjaya dalam badminton.

Beliau dijadual menyertai kejohanan pertamanya musim ini di Terbuka Switzerland pada hujung bulan ini dan akan berdepan pemain Indonesia, Putri Kusuma Wardani pada pusingan kelayakan.

Terdahulu, majlis tajaan itu turut dihadiri Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. – Bernama