Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Dividen 2022 LTAT dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Aplikasi MyWira di Menara Chulan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diingatkan agar tidak mendedahkan dana caruman anggota tentera kepada pelaburan berisiko tinggi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai tabung kewangan anggota tentera, LTAT harus mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan simpanan pencarum selamat biarpun pulangan dividen diumumkan setiap tahun tidak memadai.

Menurutnya, pengurusan LTAT dinasihati supaya melihat semula jenis pelaburan yang akan dilaksanakan agar ia tidak terdedah kepada situasi menyusahkan badan itu dan anggota tentera yang mencarum.

“LTAT mempunyai dua tanggungjawab besar iaitu, pertama memastikan caruman anggota tentera selamat.

“Kedua, pengurusan dan pakar pelaburan LTAT perlu memastikan caruman yang dilakukan pencarum mendapat pulangan. Sekiranya ia tidak lumayan, ia haruslah memadai atau berpatutan.

“Saya sendiri sudah duduk dengan Pengerusi LTAT dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk memberikan pandangan saya dan peranan yang yang harus dilakukan mereka.

“Mereka perlu ingat, anggota tentera sudah berkerah keringat berkorban jiwa dan raga sama ada di udara dan hutan, pastinya mereka berharap tabungan atau pencen mereka selamat dan mempunyai pulangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pengumuman Dividen 2022 dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, LTAT juga dinasihati agar tidak terbabit dalam perlumbaan bersama badan pelaburan lain hanya semata-mata mahu mengisytiharkan kadar dividen tinggi.

Ujarnya, semua keuntungan diraih LTAT juga tidak seharusnya dilaburkan ke dalam pemberian dividen, sebaliknya disimpan untuk masa hadapan yang tidak menentu.

“Saya berbangga dalam pembayaran dividen lima peratus pada tahun ini dan bangga kerana ia masih mengekalkan pendapatan dan tidak menggunakan keuntungan (professional profit). Saya juga meminta untuk (dividen itu) tidak diisytiharkan berdasarkan rizab simpanan.

“Jika ada organisasi lain dilihat melakukan pembayaran yang tinggi, LTAT tidak perlu melakukan perkara sama,” tambahnya.

Katanya, pengurusan tertinggi termasuk anak syarikat perlu bersatu hati dan menggunakan kepakaran yang ada untuk bekerjasama dan melihat semula model perniagaan sedia ada.

“Saya sendiri sudah bertemu dengan CEO anak syarikat LTAT dan meminta mereka mengubah suai falsafah perniagaan yang dijalankan, dan meminta mengejar ‘chase the dragon’.

“Saya minta mereka buat sesuatu sebelum terlambat, betulkan kemudi dan falsafah kita dengan bersandarkan tanggungjawab dan amanah yang besar dalam menguruskan tabungan ini. Jangan sesekali lupa asas penubuhan LTAT kerana banyak organisasi akhirnya tersasar apabila perkara ini dilupakan,” jelasnya. – MalaysiaGazette