Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiada dana awam yang digunakan untuk mengimport telur ayam ataupun diberikan subsisidi kepada syarikat pengimport telur ayam di negara ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), telur ayam tempatan sahaja yang layak menerima subsidi kerajaan.

Katanya, sebarang perbelanjaan dan risiko untuk mengimport telur ayam ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengimport dan tiada dana awam yang digunakan.

Ini kerana kebenaran mengimport telur ayam boleh ditamatkan pada bila-bila masa apabila bekalan telur dalam negara telah pulih dan stabil.

“Pada 6 Disember lalu, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing sejak bulan Oktober 2022.

“Maka kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun 2023 telah diberikan kepada syarikat J&E Advance Tech Sdn. Bhd. dan syarikat pengeksport telur di India yang mempunyai kapasiti pembekalan dan juga sedang membekalkan telur ke Qatar ketika Piala Dunia 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Tambah MAFS, tindakan membawa masuk telur ayam dari luar kini dilihat memberi impak apabila terdapat lebihan telur ayam berbanding sebelum ini.

Berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), pada Oktober tahun lalu Malaysia merekodkan kekurangan telur ayam sebanyak 118,272,070 biji, diikuti November (157,543,291) serta Disember (1,282,094).

“Sehubungan itu, kerajaan akan sentiasa memastikan langkah-langkah proaktif untuk memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi dan terjamin,” ujarnya.

Dalam pada itu, MAFS memaklumkan segala pengimportan telur ke negara ini perlu melalui beberapa proses bagi memastikan bekalan yang diterima bersih, selamat dan bebas daripada sebarang penyakit.

“Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) dan DVS melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk negara dengan cara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Hanya telur ayam yang lepas ujian HTR sahaja dibenarkan masuk ke negara ini. Setakat ini tiada telur ayam yang diimport yang gagal ujian ini. Justeru itu, mana-mana syarikat yang ingin mengimport haiwan dan produk haiwan perlu merujuk kepada DVS untuk memastikan negara sumber berkenaan tersenarai dalam negara yang diluluskan.

“Bagi negara yang belum diluluskan, Analisa Risiko Import perlu dijalankan terlebih dahulu. Setelah melepasi analisa dan ia diluluskan di peringkat kementerian, barulah produk berkenaan dibenarkan untuk diimport,” jelasnya. – MalaysiaGazette