Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang berucap pada Majlis Pemasyhuran Univertisi Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Sebagai universiti kedua di bawah kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) digesa untuk menjadi  pengubah (game changer) dalam mencapai misi membangunkan profesional beretika.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, UPTM perlu mengembleng tenaga secara holistik serta seimbang melalui pengetahuan dan teknologi kontemporari ke arah pembangunan negara.

“Dalam usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, Manifestasi Road Map 5 Tahun UPTM menjadi medan Transformasi Anak Bangsa atau Transforming The Nation akan diangkat berasaskan empat teras pelan strategik.

“Pertama, UPTM akan memberikan tumpuan kepada usaha transformasi kemahiran tatacara kerja dan kualiti pengajaran warga kerja selari dengan adunan terkini. Penerapan nilai budaya kerja cemerlang serta penyampaian perkhidmatan yang cekap serta berkesan akan menjadikan UPTM akan lebih disegani.

“Kedua, UPTM berhasrat untuk menjadi sebuah kampus pintar (Smart Campus) dan pelaksanaan inisiatif ini seiring dengan saranan kerajaan dalam memperkasakan agenda digital di negara ini,” jelas beliau dalam ucapan perasmian majlis pemasyhuran Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Dalam ucpaan sama, Ahmad Zahid dipetik berkata, cadangan itu nertepatan dengan keperluan dalam era Revolusi Industri 4.0.

“UPTM perlu melaksanakan transformasi digital (digital transformation) kepada sebuah kampus pintar agar terus relevan terhadap keperluan semasa dan jangkaan pemegang taruh.

“UPTM akan meningkatkan strategi penjanaan pendapatan baharu seperti perundingan industri pakar dan pengkomersilan idea. Ini pastinya menjadi cabaran yang berat tetapi perkara ini tidak mustahil untuk dicapai,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UPTM akan memberikan fokus kepada kebitaraan perniagaan dan perakaunan selain pendirian dan teknologi maklumat.

Jelasnya, universiti itu perlu menawarkan program pengajian berkualiti yang mendapat permintaan tinggi dan sentiasa relevan dengan keperluan industri.

“Selain dari memastikan semua program mendapat akreditasi dari badan-badan pengiktirafan seperti Lembaga Akreditasi Negara (MQA), kualiti tenaga pengajar, fasiliti dan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif perlu dititikberatkan, bersesuaian dengan taraf universiti yang telah diperoleh,” ujarnya.

Untuk rekod, ketika ini, UPTM menawarkan 28 program pengajian terdiri daripada pengajian Ijazah Doktor Falsafah, program Ijazah Sarjana,  Ijazah Sarjana Muda, program Perakauan Profesional, program Diploma dan program asasi. – MalaysiaGazette