pas cari makan penyelesaian dua negara
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Penyelesaian dua negara yang dicadangkan bagi menyelesaikan konflik di Palestin hanyalah omong kosong kepada negara-negara Arab dan Islam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hakikatnya Israel sendiri tidak menerima konsep tersebut.

Menurut beliau, Israel sedang ‘membakar’ Palestin melalui tindak-tanduknya yang sangat melampau.

“Pendatang haram Yahudi secara bertali arus datang dan dibawa masuk bagi mengisi bumi Palestin yang terus dirampas malah mereka mendapat perlindungan daripada pihak tentera dan polis Yahudi serta bekalan senjata bagi membunuh sesiapa yang melawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata, kini, pihak pelampau zionis menceroboh masuk pula ke dalam Masjid al-Aqsa dengan tujuan merobohkannya untuk digantikan dengan kuil Yahudi iaitu Haikal Sulaiman.

Beliau mendakwa, mereka mendapat dukungan tentera dan polis Yahudi manakala para jemaah yang mempertahankannya pula hanya bertahan dengan batu dan tangan kosong.

“Rakyat Palestin yang mempertahankan agama, tanah air, keluarga dan harta mereka dianggap sebagai pengganas. Sebaliknya, kumpulan pelampau Yahudi pula dianggap kumpulan yang wajib diberikan perlindungan dan keamanan,” jelasnya.

Abdul Hadi menambah, negara-negara Barat yang bertindak menubuhkan negara haram Israel itu terus membekalkan kepada mereka dengan segala jenis senjata, termasuk senjata pemusnah yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa.

Menurut beliau, perkara itu dibenarkan kepada negara haram Israel tetapi diharamkan kepada negara jirannya termasuk bagi tujuan menjadi salah satu sumber tenaga.

“Ada pun ajaran Islam mengharamkannya melainkan untuk tujuan keamanan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Israel telah membina teknologi persenjataan pemusnah yang diharamkan sejak tahun 1960-an lagi dengan bantuan negara-negara seperti Perancis, Britain dan Amerika Syarikat, apabila mereka membina pusat nuklear di Bi’ru al-Sab‘u atau Be’er-Sheva (Negev).

“Negara yang terus berpura-pura berusaha ke arah perdamaian di Palestin dan terus membawa penyelesaian dua negara untuk Yahudi dan rakyat Palestin,” jelasnya.

Apa yang lebih menghairankan, katanya, penyelesaian dua negara yang menipu itu didukung oleh beberapa negara Arab dan Islam yang memaksa pihak Palestin menerima penyelesaian yang sangat zalim.

“Namun begitu majoriti rakyat Palestin tetap menolak dan meneruskan perjuangan mereka dengan gagah berani sekali gus menepati janji Rasulullah SAW,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast