KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti hukuman yang bersesuaian kepada anak yang mengabaikan iu bapa yang telah tua.
Timbalan Menteri Aiman Athirah Sabu berkata, undang-undang itu akan dimasukkan dalam akta khusus untuk warga emas yang akan dibentangkan tahun depan.
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Aiman Atthirah berkata, kementerian telah melakukan kajian kandungan, pendekatan dan skop bagi mewujudkan akta tersebut.
Penggubalan akta warga emas berkenaan sebagai langkah positif yang bersifat holistik untuk melindungi warga emas kerana mencapai status Negara Tua pada tahun 2030.
“Usaha pewujudan satu akta warga emas ini merupakan salah satu langkah Kementerian dalam menangani isu penuaan penduduk dengan pendekatan yang dapat mengharmonikan semua pihak dan sebagai persediaan negara ke arah mencapai status negara tua pada tahun 2030.
“Sehubungan itu, KPWKM akan meneliti kesesuaian undang-undang terhadap anak-anak yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa dalam akta tersebut bagi memastikan kesedaran masyarakat umum tentang kepentingan menjaga warga emas akan meningkat,” kata Aiman Athirah.
Jelas beliau, akta tersebut akan melindungi kebajikan, hak asasi, memperkasa warga emas.
Ia juga bagi memperkasakan ahli keluarga dan komuniti, mewujudkan sistem sokongan yang kuat untuk warga emas dan mewujudkan sistem sokongan yang kukuh untuk penjaga.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat (PH) Mohd. Sany Hamzah yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan udang-undang yang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan.
Aiman Atthirah berkata, KPWKM menyambut baik cadangan untuk
memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan sekiranya anak-anak berkemampuan tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab.
KPWKM bagaimanapun telah melaksanakan pelbagai inisiatif secara menyeluruh bagi memelihara kebajikan warga emas di negara ini.
KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mewujudkan
perkhidmatan institusi Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE) khusus bagi warga emas yang memerlukan.
Semua institusi berkenaan dibiayai oleh kerajaan tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni yang tinggal di sini.-MalaysiaGazette