Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN- Kerajaan Pahang bersetuju memberi Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas sebanyak RM100 kepada penjawat awam di negeri ini pada tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kenaikan itu akan melibatkan implikasi kewangan tahunan sebanyak RM9.6 juta kepada kira-kira 8,000 orang kakitangan kerajaan negeri.

Kenaikan itu juga, menurut Wan Rosdy adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2022 yang mana kerajaan Persekutuan telah meluluskan pemberian itu kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dalam kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan dan profesional berkuat kuasa 1 Jan lepas.

“Oleh yang demikian, mengambil kira peranan penting penjawat awam negeri yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat Pahang, kerajaan negeri bersetuju menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan ini.

“Pemberian KGT Tambahan Khas ini tidak akan menjejaskan pergerakan gaji tahunan pegawai bagi tahun 2023 dan tahun berikutnya serta tidak mengubah tarikh pergerakan gaji pegawai,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berharap pemberian KGT Tambahan Khas itu, penjawat awam Pahang dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri.

-MalaysiaGazette