Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd NaÕim Mokhtar bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Dengan Kepujian di Kompleks Islam Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau mengambil maklum cadangan yang dikemukakan bekas menteri agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad berhubung isu pentauliahan ceramah agama.

Bagaimanapun katanya, kuasa pemberian pentauliahan khas kepada tokoh agama atau ulama yang dikenali dengan kealiman dan kedudukan terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Saya serahkan kepada kebijaksanaan negeri-negeri,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan Zulkifli sebagaimana dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malayia (JAKIM) bagi program ijazah sarjana muda pengajian al-Quran dan Sunnah di sini, hari ini.

Terdahulu, Zulkifli yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan menerusi hantaran di Facebook hari ini menyenaraikan lima syor serta cadangan bagi membantu menyelesaikan isu pentauliahan yang polemik.

Syor tersebut adalah pemantauan berkala perlu dibuat bagi memastikan apa yang disampaikan oleh pemegang Tauliah Mengajar selari dengan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Pengecualian dan tauliah khas juga dicadangkan diberi kepada tokoh-tokoh politik dengan syarat tidak ada isu politik kepartian disentuh dan subjek pengajaran seperti al-Siyasah al-Syar’iyyah perlu dikekalkan untuk diajar di masjid dan surau oleh pemegang Tauliah Mengajar berkelayakan. – MalaysiaGazette