Dr. Siti Mariah Mahmud

SHAH ALAM – Kanak-kanak dari keluarga miskin bandar di Selangor diberi perhatian kerajaan negeri menerusi program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) dengan memberi mereka makanan sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, inisiatif program ASAS yang bermula pada 2021 telah memberi manfaat kepada 500 kanak-kanak.

Katanya, program tahun itu dianggap sebagai perintis untuk kerajaan negeri meneruskan memberi perhatian khusus kepada golongan berkenaan bagi tahun berikutnya dengan beberapa penambahbaikan.

“Program ini diadakan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan memberikan pek nutrisi asas mengandungi susu formula kepada kanak kanak berumur enam tahun ke bawah.

“Pemilihan kanak-kanak ini berdasarkan masalah kekurangan zat makanan di kalangan golongan miskin bandar di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terpilih.

“Seramai 500 penerima pek nutrisi ini akan dipantau selama enam bulan. Kita rekod ukuran tinggi dan berat mereka secara bulanan untuk melihat perkembangan tumbesarannya,” katanya pada Sidang DUN Selangor, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mariah, data daripada laporan menunjukkan perkembangan mereka amat positif, di mana kanak-kanak ini telah mengalami peningkatan dari segi ketinggian dan berat sepanjang mengikut program berkenaan.

“Program ASAS bagi 2021 adalah program rintis dan bagi tahun 2022 program ini telah dibuat penambahbaikan dari segi pek nutrisi yang diberikan dan juga bilangan penerima.

“Bilangan penerima dinaikkan kepada 720 orang yang dibahagikan kepada dua kohot dengan setiap kohot akan mengikuti program ini selama lima bulan, menjadikan jumlah keseluruhan program ini selama 10 bulan,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak yang terpilih dalam program ASAS tahun 2022 menerima pek nutrisi seperti susu formula, makanan berkhasiat berasaskan bijirin, multivitamin, biskut dan snek berasaskan buahan serta yogut setiap bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast