KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sempat bertemu dengan rakan sejawatnya dari Sri Lanka, Ali Sabry yang sama-sama menghadiri mesyuarat di London.
Beliau yang berada di United Kingdom selama tiga hari sehingga semalam berkata, Malaysia dan Sri Lanka senada dalam usaha untuk terus meningkatkan hubungan baik kedua negara yang telah terjalin sejak sekian lamanya.
“Kami percaya masih banyak peluang dan ruang untuk penambahbaikan terutama dalam aspek pelaburan, yang mana Malaysia antara penyumbang utama dalam pembangunan sektor telekomunikasi di Sri Lanka.
“Dengan ini, banyak lagi bidang pelaburan baharu boleh diterokai secara bersama di Sri Lanka seperti pembangunan pelabuhan, industri hospitaliti dan penapisan petroleum.
“Perkara ini akan terus diperhalusi melalui mekanisme Rundingan Dua Hala di antara Malaysia dan Sri Lanka,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Selain itu, kata Zambry, sepanjang mesyuarat itu juga beliau berkesempatan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Maldives, Abdulla Shahid.
Katanya, tahun ini, Malaysia dan Maldives meraikan ulang tahun ke-55 penubuhan hubungan diplomatik.
“Sejak 1968, hubungan dua hala kita semakin kukuh dengan Maldives di atas faktor kesamaan nilai budaya dan agama.
“Ketika pertemuan ini, kami membincangkan pelbagai perkara terutama usaha untuk meningkatkan ketersambungan bagi mengeratkan hubungan dan merancakkan interaksi antara rakyat Malaysia dan Maldives.
“Saya juga telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Maldives dalam bidang pelancongan dan kebudayaan,” katanya.
Beliau berkata, mereka berdua telah bertukar pandangan mengenai pelbagai isu global dan rantau yang berkepentingan bersama.
“Kami sependapat bahawa Malaysia dan Maldives harus terus bekerjasama rapat bagi menjaga keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya.
Sepanjang tiga hari itu, Dr. Zambry mengambil ruang dan peluang mengadakan pertemuan bersama rakyat Malaysia yang berada di London dan datang dari pelbagai latar belakang.
“Kami berbincang dan berinteraksi mengenai pelbagai isu domestik dan hal ehwal luar negeri Malaysia. Ternyata, walaupun jauh dari kampung halaman, rasa patriotik dan cintakan negara tidak pernah pudar walau di mana mereka berada.
“Mereka tetap memberikan pelbagai idea dan cadangan dalam usaha bersama membangunkan negara. Cadangan ini akan saya sampaikan kepada rakan Kabinet yang lain untuk kita sama-sama perhalusi.
“Nasihat saya kepada mereka, jagalah diri dan keluarga baik-baik di negara orang dan tetaplah semangat mengibarkan bendera Malaysia walau di mana pun berada,” katanya. – MalaysiaGazette