KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk menjadikan perbuatan menjejaki seseorang individu melalui apa jua cara sebagai kesalahan menghendap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penambahbaikan itu dicadangkan dalam undang-undang berhubung kesalahan menghendap.
Menurut beliau, penambahbaikan itu adalah khusus bagi menangani kes-kes di mana seseorang dijejaki tanpa elemen secara fizikal oleh mana-mana individu dengan menggunakan apa-apa peralatan atau apa-apa kaedah lain.
“Contohnya kamera tersembunyi atau pengesan GPS bagi tujuan menghendap dan si pelaku juga tidak berada berdekatan dengan mangsa ketika melakukan perbuatan tersebut.
“Cadangan undang-undang menghendap ini melibatkan pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Azalina menambah, cadangan tersebut adalah hasil perbincangan antara kerajaan yang diketuai timbalannya, Ramkarpal Singh dengan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Majlis Peguam dan Jabatan Peguam Negara (Bahagian Gubalan dan Bahagian Pendakwaan) pada 24 Februari lalu.
Beliau memberitahu, persetujuan telah dicapai bahawa perkara-perkara polisi berhubung kesalahan anti menghendap yang telah ditetapkan sebelum ini dikekalkan dengan penambahbaikan. – MalaysiaGazette