SHAH ALAM – Tidak timbul isu penceramah agama disekat atau dihalang daripada menyampaikan ilmu di masjid dan surau di Selangor.
Bagaimanapun, titah Sultan Selangor adalah jelas, iaitu kalau hendak menyampaikan ilmu, biarlah berdasarkan kepada sumber autentik, bukan dipenuhkan dengan lawak jenaka.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, apabila umat Islam mendengar jenaka yang seksis bernada sindiran daripada penceramah, ia tidak dapat menyampaikan maksud roh ilmu dalam diri pendengar.
“Saya mahu menjawab kepada isu yang sedang tular ketika ini. Sebenarnya tidak timbul isu dakwah tersekat atau pembudayaan ilmu terhalang.
“Tuanku baginda sultan jelas bertitah bahawa kalau nak menyampaikan ilmu itu biarlah ilmu berdasarkan kepada sumber yang sahih, bukan dipenuhkan dengan lawak jenaka, kemudian jenaka yang seksis.
“Akhirnya roh ilmu itu sendiri tidak dapat. Yang dapat hanyalah hiburan dengan lelucon yang disampaikan oleh penceramah tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung titah ucapan Tuanku Sultan Selangor di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kekal bertegas dengan titah Sultan Selangor untuk melarang mana-mana penceramah yang tidak mendapat tauliah pihak berkuasa, tidak boleh mengajar di masjid dan surau.
Kata Mohd Zawawi, JAIS sentiasa memantau ceramah yang disampaikan di masjid, surau dan mussola seluruh negeri agar tidak berlaku penyalahgunaan bagi kepentingan sesebuah parti politik.
Katanya, satu arahan khusus bertajuk, “Larangan penggunaan masjid dan surau bagi menjalankan program serta ceramah yang berunsurkan kepentingan politik telah dikeluarkan pada 9 Januari 2022 kepada seluruh ahli masjid dan pengerusi surau, serta musola bagi Selangor.
“Arahan ini juga merujuk kepada titah Sultan Selangor berhubung perkara itu bertarikh 4 Januari 2022 kepada Jais.
“Tindakan penguatkuasaan juga akan dilakukan terhadap mana-mana pihak yang mengajar atau cuba mengajar atau menyebabkan pengajaran agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor,” katanya.
Menurut beliau, jika ada pihak melanggar larangan itu dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Menjawab pertanyaan Halimey Abu Bakar (Seri Setia), Mohd Zawawi menjelaskan, kerajaan negeri akan memberi perhatian rungutan ADUN yang tidak diundang ke masjid kerana bimbang melanggar arahan itu.
“Insya-Allah, kita akan beri perhatian dan semua ADUN yang dipilih rakyat akan disarankan kepada pentadbir masjid supaya mengundang mereka di kawasan masing-masing bagi merapatkan lagi silaturahim antara pimpinan dengan komuniti setempat,” katanya. – MalaysiaGazette