Dasar Automotif Negara
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat dari kanan) bertemu wakil-wakil syarikat gergasi Korea Selatan daripada pelbagai industri semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan di negara itu, hari ini. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menyemak semula Dasar Automotif Negara 2020 bagi memastikan ia kekal relevan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu adalah selaras dengan perubahan semasa.

“Komited dengan dasar tersebut dan agenda saya sejak menerajui MITI iaitu membangunkan industri kenderaan elektrik (EV), saya telah berbincang dengan syarikat Hyundai Motor untuk melabur dalam industri berkenaan di Malaysia.

“Perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperhalusi ruang pelaburan untuk Hyundai di Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau mengulas tentang pertemuannya dengan syarikat-syarikat gergasi Korea Selatan daripada pelbagai industri semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan kali ini.

Tengku Zafrul menambah, dasar tersebut mengutamakan persediaan masa hadapan untuk industri automotif tempatan.

“Dasar ini menggalakkan pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) termasuk EV yang bukan sahaja mempunyai ciri digital dan pintar teknologi tetapi cekap tenaga dan mesra alam,” jelasnya. – MalaysiaGazette