Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan mula mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaaah haji bagi tahun 2023 pada Rabu ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, bagaimanapun bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut yang diberikan tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi THiJARI.

Untuk kes-kes tertentu, bakal jemaah boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.

Katanya, bagi pemilihan jemaah haji, TH mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, dikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022 dan 2023.

Jelasnya, bagi rayuan haji di luar giliran, jemaah perlu membayar kos penuh iaitu RM30,850 seorang.

“Kecuali individu yang membuat rayuan mahram atau sebagai pembantu kepada jemaah yang berusia,” ujarnya.

Menurut Amrin, setakat ini kira-kira 3.8 juta pendeposit TH telah mendaftar dan menunggu giliran masing-masing. – MalaysiaGazette